Siapa bilang anak miskin tak harus punya cita-cita? Siapa bilang anak miskin tak mungkin akan berjaya? Itulah tanggapan masyarakat yang harus kita padamkan dari minda mereka hari ke hari. Seperti sudah tersemat bahkan anak-anak miskin umpama mengerti sendiri bahawa mereka tidak perlu sekolah. Bagi mereka, bersekolah hanya menambahkan beban keluarga.
Kasihan bukan? Dari generasi ke generasi, mereka meneruskan hidup hanya sekadar mencukupkan makan minum semata-mata. Si bapa sedaya upaya membanting tulang empat kerat berhempas pulas mencari rezeki buat keluarga tercinta. Si ibu pula sibuk menguruskan hal rumah tangga dan membantu mencari pendapatan tambahan sedikit sebanyak. Manakala si anak pula tugasnya membantu pekerjaan si bapa mana tahu suatu hari nanti mereka akan mengikuti jejak langkah bapa mereka.
Ramai antara mereka berfikiran cukuplah kalau anak mereka mampu mencari duit sebagaimana mereka. Sedangkan harus diingat, kos hidup sehari hari makin meningkat dari zaman ke zaman. Kalau dulu, seandainya pandai menangkap ikan di laut, cekap memburu binatang liar dihutan, rajin menanam sayur-sayuran di halaman rumah sudah di kira beruntung, tapi kini tidak lagi. Bahkan, untuk mendapat tanah sekangkang kera sekalipun harganya cukup mahal pada masa kini.
Dalam dunia yang semakin hari semakin pantas meninggalkan kita ini, harus kita sedari bahawa generasi baru pastinya mempunyai cabaran yang lebih besar daripada kita. Ibu bapa harus menanam perasaan bahawa mereka tidak mahu anak-anak mereka mewarisi pekerjaan mereka yang serba susah dan kekurangan. Nasib dan keberuntungan seseorang tidak akan berubah selagi kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Satu-satunya jalan untuk mengubah nasib seseorang adalah melalui pendidikan. Melalui pendidikan, maruah dan martabat diri seseorang akan meningkat. Melalui pendidikan juga pemikiran seseorang akan lebih luas dan paling penting, orang berilmu tidak mudah untuk ditipu apalagi untuk diperbodohkan.
Laskar Pelangi adalah sebuah cerita yang mempunyai moral yang amat tinggi. Cerita yang menekankan kepentingan pendidikan terhadap anak-anak miskin. Sebuah cerita yang bagi aku amat menyentuh hati kecil kita dan berjaya membawa kita berfikir akan nasib mereka yang serba kekurangan. Sehingga kita kadangkala mengabaikan kebajikan mereka. Harus kita sedari bahawa pendidikan adalah hak semua orang.
Di Koahsung, Taiwan, Laskar Pelangi telah memenangi anugerah Filem Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke 53 sekaligus meminggirkan 40 karya lain termasuk dari Malaysia yang mencalonkan filem Telentime, Wayang dan Papadom yang tidak memenangi sebarang anugerah.
Mengimbau kembali watak yang dibawa oleh Lintang, seorang anak genius yang mempunyai jiwa yang sangat kental dan amat bersemangat menimba ilmu. Lintang seorang anak lelaki kepada seorang nelayan dan kehidupan yang amat daif. Namun kerana semangat untuk berjaya, dia sanggup meredah pelbagai rintangan untuk sampai ke sekolah pada setiap pagi. Namun, setelah pemergian ayahnya, Lintang terpaksa meninggalkan cita-cita yang amat dia dambakan kerana tanggungjawab menjaga adik-adik lebih didahui. Pemergian Lintang dari alam persekolahan tidak pergi begitu saja. Semangatnya yang begitu kuat untuk menimba ilmu pelajaran telah meresap ke dalam diri rakan-rakan nya yang lain sehingga antara mereka mendapat tajaan belajar sehingga ke luar negara. Benar kata orang, yang berilmu itu laksana padi, semakin berisi semakin tunduk. Rakan Lintang yang berjaya itu sentiasa ingat akan semangat Lintang sehingga meresap ke jiwanya juga dan kerana semangat itulah dia berjaya sampai ke universiti.
Sebuah cerita yang mesti ditontoni oleh semua lapisan maryarakat dan ambillah sebanyak mana iktibar dan pengajaran daripada filem tersebut. Sedikit pun tidak ada ruginya bahkan anda akan mula berfikir tentang realiti sebuah kehidupan. Tidak semuanya indah dan tidak semuanya mudah tetapi berbekalkan satu semangat yang teguh yang pahit itu menjadi manis, yang payah itu menjadi senang. Semoga anda menghayati keindahan filem Laskar Pelangi dan semoga anda mendapat satu kepuasan menonton filem sehebat ini. Tontoni lah dengan mata hati anda bukan dengan jiwa yg kosong. ^_^
bagus sekali cerita ini~~~