Hari ni aku agak gembira bila melihat status di Facebook yg dikeluarkan oleh guru-guruku sewaktu di MRSM Pengkalan Chepa dulu. Bangganya aku bila mendapat berita tentang keputusan sebenar sekolah terbaik SPM 2010 adalah sekolah tempat aku pernah menuntut ilmu suatu ketika dulu. Alhamdulillah... Kenangan dan peristiwa-peristiwa silam seketika menggamit fikiranku. Kadang kala aku tergelak kecil teringat memori-memori lucu yang pernah terjadi sewaktu aku di sana dulu. MRSM Pengkalan Chepa menyimpan 1001 kenangan buat aku dan teman-teman. Hari ini, aku tersenyum mendengar berita pencapaian yang amat membanggakan aku dari bekas guru-guruku yang masih mengajar di sana.
Tapi aku lihat senyuman guru-guruku bercampur sedikit kekesalan pada pihak media dan kerajaan yang tidak mengisytiharkan dan tidak sudi menobatkan MRSM Pengkalan Chepa sebagai sekolah TERBAIK SPM 2010. Kenapa ini terjadi??? Aku juga hairan dengan pihak Kerajaan bersikap terlalu menjaga kepentingan sendiri. Kenapa tiada langsung ketelusan ditunjukkan kepada rakyat?
Ni lah status yang dikeluarkan oleh Cikgu Pendidikan Seni Visual aku |
Terkesima aku bila mengetahui keputusan adik-adik ku di sana begitu membanggakan. Aku masih lagi tersenyum. Tahniah adik-adik di MRSM PC! Teruskan pencapaian terbaik seperti ini ^_^. Untuk makluman semua, MRSM Pengkalan Chepa mencatat pencapaian terbaik dalam tujuh subjek yang mendapat 100% gred A dalam SPM tahun 2010. Tujuh matapelajaran tersebut adalah Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam, English for Science and Technology, Rekacipta, Perakaunan dan juga Pendidikan Seni Visual. Ini jelas menunjukkan pencapaian terbaik yang ditunjukkan mereka. Kenapa kita perlu menolak dan menidakkan kejayaan yang jelas-jelas dibuktikan oleh anak bangsa Melayu sendiri? Sekurang-kurangnya kerajaan perlu bersikap adil terhadap semua institusi pendidikan di Malaysia. Mereka mengambil kertas peperiksaan SPM yang sama, melalui sistem peperiksaan yang sama bahkan pada tarikh yang sama, tetapi kenapa mereka tidak pula dikategorikan dalam satu kategori yang sama?
Memori kembali menggamit di benak fikiranku. Debar kot nak amek result! :P |
Memang benar, pendidik-pendidik di MRSM tidak berasal dari KPM.Tetapi mereka tetap mengikut silibus-silibus yang terdapat dalam buku teks yang di ajar di sekolah-sekolah SMK mahupun SBP. Kenapa warga pendidik harus disangkal dan dijadikan alasan serta jurang perbezaan, sedangkan kita seringkali mendengar dewasa ini konsep 1Malaysia diwar-warkan di mana-mana bahkan dalam apa jua program sekalipun. Warga pendidik dari mana sekalipun asal mereka tujuan dan tugas mereka tetap sama iaitu membentuk anak bangsa agar cemerlang dan boleh menerajui generasi akan datang. Semua warga pendidik adalah mulia dan ikhlas. Mereka juga tetap meraikan 16 Mei setiap tahun sebagai Hari Guru justeru kenapa perbezaan ni perlu dijadikan alasan? Sayangnya konsep tersebut sekadar hebat pada nama. Adakah ini contoh terbaik konsep 1Malaysia diamalkan dalam institusi pendidikan di Malaysia? Sebelum terlupa, aku juga ingin mengucapkan Tahniah kepada semua warga pendidik di MRSM Pengkalan Chepa atas pencapaian hebat kalian tahun ini! Namun bagi saya, kalian tetap hebat bukan pada tahun ini sahaja tetapi dulu, kini dan selamanya. Begitu juga kepada semua yang bergelar pendidik di seluruh Malaysia. Tidak kira kalian guru MRSM, SBP, mahupun SMK. Tahniah buat kalian.
Ini status yang aku postkan pada 24/3/2010 |
MRSM Pengkalan Chepa mencatatkan keputusan GPS 0.8291, justeru dinobatkan sebagai MRSM terbaik seluruh Malaysia manakala Sekolah Menengah Sains Tunku Munawir diisytiharkan sebagai Sekolah Terbaik seluruh Malaysia dengan rekod GPS sebanyak 0.89. Justeru amat jelas, MRSM Pengkalan Chepa menduduki tangga teratas dan sepatutnya dinobat sebagai Sekolah terbaik seluruh Malaysia. Hanya kerana MRSM bertaraf Separa Kerajaan, maka MRSM Pengkalan Chepa hanya layak dinobatkan sebagai MRSM Terbaik 2010 dan tidak layak sama sekali sebagai Sekolah Terbaik yakni hanya sekolah KPM sahaja yang layak dinilai dalam kategori Sekolah Terbaik seluruh Malaysia. Selain itu juga, pelajar terbaik SPM 2010 juga merupakan pelajar MRSM PC iaitu Munirah Izzah. Tahniah adik Munirah!
Adik-adikku dari MRSM PC bahkan seluruh warga MRSM umumnya, teruskan pencapaian terbaik kalian! Usah kecewa dengan sikap pihak media dan kerajaan yang sering menganaktirikan pelajar-pelajar MRSM. Kalian adalah anak-anak bangsa yang bakal bergemerlapan suatu masa nanti. Apa yang penting, teruskan usaha dan sentiasalah merendah diri, kerana orang yang sombong tidak akan ke mana-mana. Kepada Sekolah Menengah Sains Tunku Munawir yakni Sekolah Menengah Sains Seremban, Tahniah juga atas pencapaian kalian sekaligus dinobat sebagai Sekolah Terbaik SPM 2010. Kepada semua yang telah menduduki SPM 2010, di sini Cik Deeya ingin berkongsi sedikit kata-kata bersama kalian.
"Bercita-citalah Setinggi Langit, Setidak-tidaknya Kita Mampu Menggapai Awan"
Kata-kata yang sehingga kini aku jadikan sebagai pembakar semangatku. Baik ketika jatuh atau bangun, yang penting jangan mudah mengalah. perjalanan masih panjang. Kehidupan selepas sekolah adalah amat berbeza dengan sewaktu sekolah. Jangan sekali-kali lalai dan alpa kerana kejayaan seseorang boleh hilang sekelip mata manakala kegagalan juga mampu berubah mencipta sebuah kejayaan hanya dengan usaha dan tawakkal kepada Yang Maha Esa Allah SWT.
Wallahualam.........
Post a Comment
Anda dialu-alukan memberi komen berguna terhadap artikel ini~